ππ€πƒπŒπ€ ππ„π‘πŠπ”πŠπ”π‡ πŠπ„π’πˆπ€ππ’πˆπ€π†π€π€π πŠπŽπŒπ”ππˆπ“πˆ, ππ„π‘πŠπ€π’π€ π‘π€πŠπ˜π€π“ π’π„ππ€π†π€πˆ ππ€π‘πˆπ’π€π 𝐇𝐀𝐃𝐀𝐏𝐀𝐍 πŒπ„ππ†π‡π€πƒπ€ππˆ 𝐁𝐄𝐍𝐂𝐀𝐍𝐀

MERSING, 26 Julai β€” Kesiapsiagaan komuniti merupakan benteng awal dalam mengurangkan risiko serta impak bencana. Bagi memperkukuh keupayaan masyarakat bertindak sebelum bantuan tiba, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meneruskan pelaksanaan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) dengan kerjasama Pertubuhan Ihsan Johor selaku NGO pelaksana di bawah platform Rakan NADMA.

Program yang melibatkan seramai 100 peserta terdiri daripada penduduk tempatan, komuniti nelayan, masyarakat Orang Asli serta pelajar Politeknik Mersing Johor dan MRSM Mersing memberi pendedahan mengenai pemetaan risiko, pelan tindakan komuniti, penyediaan Beg Siaga 72 jam, simulasi gempa bumi dan amaran tsunami, tindakan pemindahan selamat serta latihan asas pertolongan cemas. Inisiatif ini turut disokong oleh pelbagai agensi strategik termasuk MetMalaysia, APM, JMG, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, GGK, SWCorp Malaysia dan RELA dalam memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana NADMA, Datuk Hussain Moh, berkata komuniti memainkan peranan penting sebagai 𝘧π˜ͺ𝘳𝘴𝘡 𝘳𝘦𝘴𝘱𝘰𝘯π˜₯𝘦𝘳 dalam tempoh awal selepas bencana berlaku. Melalui pendekatan CBDRM, NADMA terus memperkasa rakyat dengan ilmu, kemahiran dan perancangan tindakan bagi membentuk komuniti yang lebih bersedia, berdaya tahan serta mampu mengurangkan risiko bencana sebelum ia berlaku.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *