DR. HAKIM TAMPILKAN ASPIRASI BERTERASKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

(Sorotan PRN NS)

RANTAU, 29 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Rantau, Dr. Azizul Hakim Mahdi menegaskan fokus utamanya adalah memastikan kebajikan rakyat terus diperkasakan melalui penyelesaian terhadap isu-isu asas yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen.

Menurut beliau, hasil pertemuan dengan pelbagai lapisan masyarakat mendapati warga emas mengharapkan kemudahan kesihatan yang lebih baik, manakala komuniti bandar mahukan penyelesaian berkaitan kos sara hidup, kesesakan lalu lintas dan akses pengangkutan awam yang lebih berkesan.

Beliau berkata, masyarakat luar bandar pula berharap pembangunan dapat dinikmati secara lebih seimbang melalui usaha memperkasa usahawan, peniaga kecil dan sederhana, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan berkenaan.

Dr. Azizul Hakim turut berkata golongan muda menunjukkan harapan tinggi terhadap masa depan, khususnya dalam aspek peluang pekerjaan.

Selaras dengan manifesto PH, beliau berkata sebanyak 30,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk Rantau dan kawasan sekitarnya.

Menyentuh mengenai manifesto PH Negeri Sembilan, beliau yakin pendekatan yang dibawa memberi tumpuan kepada kesejahteraan keluarga, pengukuhan ekonomi harian dan pembangunan masa depan generasi muda.

Menurutnya, rekod pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri sebelum ini menjadi asas keyakinan bahawa manifesto tersebut mampu direalisasikan.

Dalam pecutan akhir kempen, beliau berkata jentera memberi tumpuan kepada pendekatan secara lebih dekat dengan pengundi, khususnya mereka yang masih belum membuat keputusan, selain memastikan mesej kempen disampaikan secara berhemah dan berfakta.

Mengulas persaingan di DUN Rantau, Dr. Azizul Hakim menghormati pengalaman lawannya, namun menegaskan bahawa setiap pilihan raya memberi ruang kepada rakyat untuk membuat penilaian berdasarkan keperluan semasa dan hala tuju masa depan kawasan tersebut.

Beliau turut mengakui cabaran utama sepanjang kempen ialah membina keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baharu, namun percaya semangat, tenaga serta idea baharu yang dibawa mampu menyumbang kepada pembangunan Rantau pada masa hadapan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *