KEUNTUNGAN NEKMAT MELEBIHI RM25 JUTA, PERKUKUH KEBAJIKAN NELAYAN DAN INDUSTRI PERIKANAN

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan keuntungan melebihi RM25 juta bagi tahun 2025, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM11 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kecekapan pengurusan NEKMAT serta memperkukuh keupayaannya dalam menyediakan dana kebajikan dan pendidikan demi manfaat komuniti nelayan di seluruh negara.

Menurut beliau, NEKMAT kini giat memperluaskan aktiviti perniagaan melalui pelbagai projek strategik termasuk pembangunan hartanah, stesen minyak, pembinaan barge pengangkut diesel, kemudahan logistik serta projek perumahan nelayan menerusi kerjasama dengan Prosper Sunshine Sdn. Bhd.

Dalam masa sama, kerajaan mahu NEKMAT memainkan peranan lebih besar sebagai peneraju pembangunan industri perikanan laut dalam negara bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan komuniti nelayan.

Usaha tersebut sedang diperhalusi bersama beberapa kementerian di bawah Kerajaan MADANI bagi memastikan penglibatan NEKMAT dalam sektor perikanan bernilai tinggi dapat dilaksanakan secara mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada industri serta rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *