HOSPITAL BANDAR ENSTEK BAKAL MANFAATKAN 700,000 PENDUDUK MENJELANG 2032

SEREMBAN, 28 Julai – Kira-kira 700,000 penduduk di Negeri Sembilan bakal menikmati kemudahan kesihatan yang lebih menyeluruh menerusi pembinaan Hospital Bandar Enstek, yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2032.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hospital baharu itu akan memberi manfaat kepada penduduk di Nilai, Labu, Seremban 2, Sendayan serta kawasan sekitarnya, sekali gus mengurangkan kesesakan dan beban di Hospital Tuanku Ja’afar sebagai hospital rujukan utama negeri.

Menurut beliau, pembinaan fizikal dijangka bermula seawal 2028 selepas proses pertukaran dan perolehan tanah seluas 50 hektar di Lot 34546 Bandar Enstek dimuktamadkan, dengan tapak berkenaan dipilih kerana merupakan aset sedia ada milik Kerajaan Persekutuan.

Pendekatan tersebut bukan sahaja mempercepatkan penyediaan tapak projek, malah mengoptimumkan penggunaan aset kerajaan serta menjimatkan kos perolehan tanah sebelum proses reka bentuk dan pembinaan dimulakan.

Hospital Bandar Enstek akan dibangunkan secara berfasa dengan kapasiti sehingga 500 katil, sekali gus memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan awam dan memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat di kawasan selatan Negeri Sembilan.

Projek berimpak tinggi itu merupakan hasil kerjasama berterusan antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sejak tahun 2024 dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *