
JEMPOL, 1 Ogos – Kerajaan MADANI akan meneruskan agenda pembaharuan FELDA apabila Laporan Pasukan Petugas Khas (Task Force) berkaitan FELDA dijangka disiapkan dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum diterbitkan untuk tatapan umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan tersebut akan didedahkan sebaik sahaja proses penyediaannya selesai bagi membolehkan rakyat meneliti dapatan serta cadangan penambahbaikan yang dikemukakan, selaras dengan pendekatan ketelusan yang turut dilaksanakan menerusi penerbitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji.
Menurut beliau, pendedahan laporan itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membetulkan kelemahan pentadbiran lampau, memperkukuh tadbir urus FELDA serta memastikan kepentingan peneroka terus menjadi keutamaan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting bagi mempercepat pelaksanaan dasar serta inisiatif yang memberi manfaat kepada warga FELDA dan rakyat secara keseluruhannya.
Sebelum ini, kerajaan telah mengarahkan pelaksanaan tujuh inisiatif segera FELDA di samping mewajibkan laporan kemajuan dikemukakan setiap bulan bagi memastikan usaha reformasi institusi itu berjalan mengikut perancangan dan memberi impak yang berkesan kepada kebajikan peneroka.
