
SHAH ALAM, 2 Ogos – Kementerian Komunikasi terus memperkukuh agenda literasi digital dan keselamatan siber bagi memastikan masyarakat menggunakan teknologi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan usaha mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat untuk semua.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd. Tamil, berkata kerajaan komited meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman penyalahgunaan platform digital serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kandungan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya kanak-kanak.
Beliau memaklumkan sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 1,550 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak berjaya diturunkan menerusi tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan berlesen melalui kerjasama teknikal, perkongsian maklumat dan analisis forensik digital.
Menurut beliau, Program MADANI Kita Bersama-sama Komuniti turut menjadi platform penting dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui penyertaan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di bawah satu bumbung, sekali gus membolehkan kerajaan mendengar sendiri keperluan masyarakat serta menyampaikan dasar dan inisiatif secara lebih berkesan.
Beliau berkata sambutan positif daripada masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang membuktikan pendekatan turun padang menerusi Program MADANI Kita berjaya menghubungkan kerajaan dengan rakyat, di samping memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan serta maklumat kerajaan di satu lokasi.
