
KOTA BHARU, 2 Ogos – Kerjasama strategik antara Polis Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mula membuahkan hasil apabila kes rogol bawah umur melibatkan hubungan suka sama suka di negeri itu dilaporkan menunjukkan trend penurunan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, berkata pendekatan penguatkuasaan yang dilaksanakan kini bukan sahaja melibatkan tindakan di bawah undang-undang jenayah terhadap pihak lelaki, malah turut merangkumi tindakan mengikut undang-undang syariah terhadap pihak perempuan yang terlibat sebagai usaha meningkatkan kesedaran serta mencegah pengulangan kes.
Menurut beliau, usaha menangani gejala sosial tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata kerana kebanyakan kes pengabaian kanak-kanak, penderaan dan masalah sosial berpunca daripada faktor kemiskinan, konflik keluarga, penyalahgunaan dadah serta kurangnya didikan agama.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Jawatankuasa Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diperkasakan melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, sekolah, pemimpin masyarakat dan agensi berkaitan bagi melaksanakan intervensi awal terhadap golongan berisiko.
Dalam masa sama, Polis Kelantan turut memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi pelan strategik baharu yang mewajibkan setiap daripada 56 ketua balai polis di negeri itu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari sejak 15 Julai lalu, di samping memperkukuh tindakan terhadap pengedar dan sindiket dadah bagi membendung masalah tersebut secara menyeluruh.
