897,293 PEMERIKSAAN DALAM ENAM BULAN, KESELAMATAN ESSZONE TERUS DIPERKUKUH

8 Ogos 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan agensi keselamatan terus memperkukuh pengawasan serta penguatkuasaan di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE). Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2026, sebanyak 897,293 pemeriksaan telah dilaksanakan bagi memastikan ancaman keselamatan kekal terkawal serta keselamatan komuniti dan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Angka-angka ini bukan sekadar statistik. Di sebalik setiap pemeriksaan dan operasi, terdapat pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas mempertahankan kedaulatan negara.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.

Hasil penguatkuasaan dalam tempoh enam bulan tersebut merekodkan 307 tangkapan serta 38 rampasan bernilai keseluruhan RM23.37 juta. Pencapaian ini mencerminkan kesiapsiagaan dan komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam mengesan, mencegah serta mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan ESSZONE.

Ancaman yang ditangani bukan sahaja melibatkan risiko dari luar negara, malah merangkumi ancaman domestik termasuk penyeludupan, ketirisan dan penyalahgunaan subsidi. Kehadiran ESSCOM membolehkan pengawasan, pencegahan dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih tersusun serta bersepadu bersama agensi berkaitan.

Usaha ini membawa matlamat yang lebih besar — melindungi kedaulatan, menjaga keselamatan komuniti, mencegah jenayah rentas sempadan serta membina keyakinan terhadap Sabah sebagai destinasi yang selamat dan berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan.

KDN akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah, ESSCOM dan semua agensi keselamatan bagi memastikan setiap ancaman ditangani secara tegas, berterusan dan berlandaskan undang-undang.

Bersama melindungi sempadan, mempertahankan kedaulatan dan membina keyakinan. Keselamatan adalah tanggungjawab bersama.

Sumber: Sidang Media Menteri Dalam Negeri sempena Program Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESSZONE 2026, Sandakan, Sabah | 7 Ogos 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *