Keupayaan pertahanan negara akan diperkukuh dalam Belanjawan 2027 – PMX

8 Ogos 2026

Dalam kunjungan ke Melaka semalam, selain hadir untuk beberapa program, Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa meninjau projek penambahbaikan lapang sasar serta tapak projek pembinaan Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak.

Kedua-dua projek itu dijangka siap mengikut perancangan.

Hospital tersebut kelak akan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di samping memastikan akses kepada rawatan yang lebih cepat, selesa serta berkualiti.

Penambahbaikan lapang sasar pula akan menyediakan kemudahan latihan yang lebih moden, selamat dan kondusif bagi mempertingkat tahap kesiapsiagaan anggota.

MENYANTUNI WARGA KEM TERENDAK

Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian beramah mesra dan menyantuni warga Kem Terendak dalam Program Semarak Kenegaraan, sambil mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan sahaja terletak pada keupayaan pertahanannya, tetapi juga pada semangat patriotisme, perpaduan dan iltizam untuk terus berbakti kepada tanah air.

Berikutan itu, Anwar menegaskan, Kerajaan MADANI pimpinannya akan terus berusaha memperkukuh keupayaan pertahanan negara menerusi Belanjawan 2027 akan datang.

Katanya, tumpuan adalah kepada pemodenan aset dan prasarana, peningkatan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta tidak melupakan kebajikan anggota yang menjadi benteng utama kedaulatan negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *