
11 Ogos 2026
Keselamatan yang kukuh di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bukan sekadar memastikan keamanan, malah menjadi pemangkin kepada keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa, pemeliharaan khazanah biodiversiti, pembangunan mampan serta pertumbuhan ekonomi. Komitmen berterusan Kerajaan memastikan Pantai Timur Sabah kekal selamat, stabil dan diyakini.
“Keselamatan bukan matlamat akhir, tetapi asas kepada keyakinan, pembangunan mampan dan kemakmuran rakyat.” — YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.
Sepanjang 13 tahun, RM723 juta telah dilaburkan bagi memperkukuh keselamatan ESSZone. Hasilnya amat signifikan apabila tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan sejak Januari 2020, mencerminkan keberkesanan kesiapsiagaan serta kerjasama bersepadu dalam memastikan keselamatan Pantai Timur Sabah terus terpelihara.
Keamanan yang terjamin mewujudkan rantaian impak yang lebih besar — keselamatan membina keyakinan, keyakinan menyokong konservasi, konservasi memperkukuh pembangunan mampan dan pembangunan mampan merancakkan pertumbuhan ekonomi. Manfaat akhirnya kembali kepada rakyat melalui peluang ekonomi, pelancongan, kesejahteraan komuniti dan keyakinan pelabur.
Perkembangan positif turut dapat dilihat melalui peningkatan angka pelawat Jepun yang dirujuk dalam program ini daripada sekitar 6,000 kepada 9,000. Malaysia turut menghargai perkembangan berkaitan penilaian nasihat perjalanan oleh beberapa negara termasuk Australia, Republik Korea, Jepun dan Amerika Syarikat berdasarkan keadaan keselamatan semasa.
KDN bersama ESSCOM serta agensi keselamatan dan pertahanan akan terus memperkukuh kesiapsiagaan, kerjasama strategik dan keyakinan antarabangsa agar ESSZone terus menjadi wilayah yang selamat untuk rakyat, diyakini pelawat, kondusif kepada pelaburan dan mampan untuk generasi akan datang.
Keselamatan Membina Keyakinan, Keyakinan Memacu Kemakmuran.
Sumber: Teks Ucapan Menteri Dalam Negeri | Majlis Makan Malam Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESSZone Tahun 2026 | Sandakan, Sabah | 7 Ogos 2026
