
Bukit Kayu Hitam, 10 Ogos 2026 β Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam telah berjaya menahan dan menyita beberapa jenis hasil pertanian dalam satu operasi yang dijalankan di Bay Pemeriksaan E3, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Dalam operasi tersebut, sekumpulan Pegawai Penguat Kuasa AKPS telah menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen pengimportan serta pemeriksaan fizikal secara 100 peratus ke atas konsainan hasil pertanian yang diimport dari Thailand.
Hasil pemeriksaan mendapati bahawa sebahagian hasil pertanian tersebut tidak mempunyai Sijil Perakuan FAMA 3P yang sah seperti yang disyaratkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
BARANGAN TAHANAM TELAH DISITA
Kesemua barangan tahanan telah disita dan disimpan di dalam Bilik Sejuk Blok E3, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam bagi tujuan tindakan lanjut.
Antara hasil pertanian yang disita ialah lengkuas (Alpinia galanga) seberat 265 kilogram dengan nilai anggaran RM2,120.00. Turut disita ialah halia (Zingiber officinale) seberat 300 kilogram dengan nilai anggaran RM3,000.00.
Selain itu, sebanyak 2,821 kilogram cili hijau besar (Capsicum annuum) turut disita dengan nilai anggaran sebanyak RM8,463.00.
Keseluruhan rampasan hasil pertanian tersebut berjumlah 3,386 kilogram dengan nilai anggaran sebanyak RM13,583.00.
Kesemua kes telah dirujuk dan diserahkan kepada pihak MAQIS di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.
Modus operandi yang dikesan adalah dengan membawa masuk hasil pertanian yang tidak mematuhi syarat pensijilan dan perakuan FAMA 3P, termasuk keperluan berkaitan pembungkusan, pelabelan dan penggredan.
AKPS Bukit Kayu Hitam akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap barangan yang dibawa masuk mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
