
KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2026 – Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kebangsaan MOT Tahun 2026 pada 13 Ogos 2026 bertempat di Dewan Sentral RAC, Kementerian Pengangkutan.
Majlis yang bermula pada 8.15 pagi itu dimulakan dengan ketibaan warga MOT serta Taklimat Program Kebajikan CUEPACS (CUEPACS Living Care) sebelum diteruskan dengan kehadiran YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, bersama Pengurusan Tertinggi MOT.
Majlis turut menampilkan tayangan montaj pencapaian MOT, diikuti ucapan YB Menteri yang menekankan komitmen kementerian terhadap penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan serta agenda pengangkutan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beberapa inisiatif penting turut dilancarkan, selain penyampaian sijil penghargaan termasuk Sijil Kecemerlangan Pengauditan Pengurusan Perolehan di JPJ dan Sijil Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh tadbir urus, kecekapan serta penyampaian perkhidmatan.
Dalam usaha memperkukuh mesej keselamatan jalan raya, JPJ turut menjalin kerjasama strategik dengan Monsta Studios Sdn. Bhd. bagi menyampaikan mesej keselamatan melalui pendekatan animasi dan kandungan digital yang lebih dekat dengan generasi muda.
Majlis turut menyaksikan Sesi Penyerahan Kenderaan kepada Jabatan dan Agensi di bawah MOT, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong keperluan operasi dan penyampaian perkhidmatan agensi-agensi di bawah kementerian.
Kemuncak majlis ialah acara Kibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2026, yang mencerminkan semangat patriotisme serta kesatuan warga Kementerian Pengangkutan dalam menyambut bulan kemerdekaan negara.
Berteraskan nilai kesejahteraan dalam aspirasi Malaysia MADANI, penganjuran ini memperlihatkan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan antara keutamaan penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Komitmen berterusan MOT bersama JPJ dalam memperkukuh pendidikan, penguatkuasaan dan kesedaran keselamatan jalan raya diharap dapat memupuk budaya pemanduan yang lebih berhemah, meningkatkan pematuhan terhadap peraturan serta membantu mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa di jalan raya.
Sumber: Facebook Kementerian Pengangkutan Malaysia
