
PUTRAJAYA, 12 Ogos 2026 – Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah diadakan pada 12 Ogos 2026 bagi memperincikan strategi dan langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam menangani cabaran kos sara hidup serta memperkukuh perlindungan terhadap kebajikan dan hak pengguna.
Sesi berkenaan melibatkan YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pendekatan Kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup, termasuk memastikan langkah serta inisiatif yang dirangka melalui Belanjawan 2027 dapat memberi manfaat secara berkesan kepada rakyat.
Selain itu, sesi libat urus turut menekankan keperluan memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan barang kawalan dan barangan bersubsidi, sekali gus memastikan manfaat bantuan dan subsidi Kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pendekatan bersepadu antara Kementerian Kewangan (MoF) dan KPDN ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan dasar fiskal, bantuan dan mekanisme perlindungan pengguna dilaksanakan secara lebih bersasar, berkesan dan berintegriti.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, serta pegawai-pegawai kanan MoF dan KPDN bersama Pasukan Belanjawan 2027.
Sesi libat urus antara kementerian merupakan sebahagian daripada proses perancangan Belanjawan 2027 bagi memastikan cadangan inisiatif yang dipertimbangkan mengambil kira keperluan semasa rakyat, khususnya dalam aspek kos sara hidup, perlindungan pengguna serta keberkesanan penyampaian bantuan dan subsidi.
Sumber: Facebook Kementerian Kewangan
