π—π—œπ—  π—§π—¨π— π—£π—”π—¦π—žπ—”π—‘ π—¦π—œπ—‘π——π—œπ—žπ—˜π—§ π— π—˜π—Ÿπ—˜π—₯π—”π—œ 𝗗𝗔𝗑 π— π—˜π—‘π—π—¨π—”π—Ÿ π—žπ—’π— π—£π—’π—‘π—˜π—‘ π—žπ—˜π—‘π——π—˜π—₯𝗔𝗔𝗑 π—Ÿπ—¨π—¦π—¨π—› π——π—œπ——π—”π—Ÿπ—”π—‘π—šπ—œ π—ͺ𝗔π—₯π—šπ—” π—”π—¦π—œπ—‘π—š

14 Ogos 2026

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius sebarang penglibatan warga asing dalam kegiatan jenayah terancang yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. JIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing serta rangkaian sindiket yang terlibat.

Sehubungan itu, satu tindakan penguatkuasaan telah dijalankan pada 12 Ogos 2026 jam 4.30 petang dan berjaya menumpaskan sindiket yang aktif menjalankan kegiatan melerai serta menjual komponen kenderaan lusuh serta kenderaan curi yang didalangi oleh warga Pakistan di sekitar Jalan Kapar, Klang, Selangor. Siasatan awal mendapati, sindiket tersebut dipercayai turut terlibat dalam kes kehilangan sebuah kenderaan MPV pelbagai guna milik sebuah syarikat pengurusan jenazah di Kapar, Klang baru-baru ini.

Dalam serbuan ini, JIM dengan kekuatan 24 pegawai telah diaturgerak ke lokasi hasil maklumat yang diperolehi dan telah menahan seramai 20 warga asing terdiri daripada 17 lelaki warganegara Pakistan serta dua (2) lelaki dan satu (1) wanita warganegara Indonesia. Penahanan warganegara Indonesia ini juga telah membawa kepada keterlibatan sindiket ini dalam pengurusan penyediaan β€˜rumah penampungan’ bagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal dengan bayaran yang dikenakan sekitar RM5,000.00 ke RM10,000.00 seorang.

Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

JIM menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah. Jabatan juga komited mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *