
MAUMERE, 15 Ogos – Angka korban gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda perairan Pulau Flores, Indonesia meningkat kepada sekurang-kurangnya 47 orang, manakala 50 orang lagi dilaporkan cedera.
Badan Pengurusan Bencana Indonesia memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada beberapa lokasi yang dipercayai terdapat mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
Pegawai penyelamat, Fathur Rahman berkata, usaha mengesan mereka yang dipercayai tertimbus menjadi lebih sukar selepas tanah runtuh memutuskan beberapa jalan.
Gangguan bekalan elektrik dan telekomunikasi turut dilaporkan di beberapa kawasan di Flores, sekali gus menambah cabaran kepada usaha bantuan dan operasi menyelamat.
Dalam perkembangan berkaitan, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah sedang membuat persiapan untuk menyalurkan bantuan kepada kira-kira 2,000 orang yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara.
Kerajaan turut menghantar 50,000 pakej bantuan dengan jumlah berat 275 tan ke kawasan terjejas bagi membantu mangsa bencana.
Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menawarkan bantuan menerusi satelit pemerhatian bumi Copernicus bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat.
Pulau Flores pernah dilanda gempa 7.7 magnitud pada 1992 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan kira-kira 2,500 orang.
Indonesia kerap dilanda gempa kerana terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktiviti seismik tinggi.
