
16 Ogos 2026 –
JOHOR BAHRU – Senam Sihat MADANI Merdeka 2026 akan
digerakkan secara serentak di 1,098 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)
seluruh negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan, dengan sasaran
penyertaan melebihi 50,000 peserta.
Inisiatif yang dilancarkan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan),
Kementerian Komunikasi, Datuk Aminurrahim Mohamed bersempena
Program MADANI Kita (PMK) Larkin turut menyasarkan pengiktirafan Malaysia
Book of Records (MBOR) bagi penyertaan serentak melalui rangkaian NADI di
seluruh negara, selain menghimpunkan komuniti menerusi aktiviti kecergasan
yang mempromosikan gaya hidup sihat, kebersamaan dan semangat perpaduan.
Karnival ini merupakan antara inisiatif di bawah teras Kesejahteraan Kendiri
dalam Perkhidmatan Pintar NADI yang menggalakkan komuniti membudayakan
gaya hidup aktif serta menjaga kesihatan diri dan keluarga. Pelaksanaannya
melalui 1,098 NADI di seluruh negara membolehkan mesej dan aktiviti
kesejahteraan komuniti diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi.
KESEJAHTERAAN KOMUNITI
Usaha memperkasa kesejahteraan komuniti turut diketengahkan menerusi
penganjuran PMK Larkin dengan penyediaan pelbagai perkhidmatan percuma
kepada masyarakat setempat, termasuk saringan kesihatan asas, pemeriksaan
pergigian serta saringan risiko kesihatan jantung menggunakan teknologi
kecerdasan buatan (AI).
Kemudahan ini membantu meningkatkan kesedaran
kesihatan dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan pengesanan awal
risiko kesihatan agar tindakan susulan dapat diambil lebih awal jika diperlukan.
Sehingga kini, seramai 137,254 peserta di seluruh negara telah mengikuti
program di bawah teras Kesejahteraan Kendiri. Di Johor Bahru pula, seramai 245
peserta telah menerima manfaat daripada program dan aktiviti saringan
kesihatan yang dilaksanakan melalui NADI setakat ini, mencerminkan sambutan
positif masyarakat terhadap inisiatif yang menggalakkan penjagaan kesihatan
dan kesejahteraan komuniti.
PMK Larkin merupakan lokasi ketiga dalam siri penganjuran Program MADANI
Kita yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) menerusi NADI, selepas Permatang Pauh dan Nibong Tebal, dalam
usaha mendekatkan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif Kerajaan MADANI
kepada rakyat di seluruh negara.
SENAM SIHAT MADANI MERDEKA
Program seperti Senam Sihat MADANI Merdeka memperlihatkan peranan NADI
yang semakin berkembang sebagai platform komuniti yang bukan sahaja
menyediakan akses digital, malah menyokong pelaksanaan inisiatif yang
membawa manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk dalam aspek
kesihatan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
