Op Samseng Jalanan: 450 saman dikeluarkan, 45 motosikal disita

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Sebanyak 450 saman dikeluarkan dan 45 motosikal disita atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Gombak, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lima penunggang turut ditahan kerana disyaki melakukan aksi berbahaya di jalan raya.

“Sebanyak lebih kurang 700 motosikal telah kita periksa pada malam ini, manakala sebanyak 450 saman dikeluarkan.

“Kita turut menyita kira-kira 45 motosikal serta berjaya menahan lima penunggang yang melakukan aksi samseng jalanan, termasuk aksi ‘superman’,” katanya.

Sebanyak 778 motosikal diperiksa menerusi operasi bersepadu JSPT Kuala Lumpur itu dengan kerjasama pihak Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Gombak.

Mohd Zamzuri berkata, kesemua penunggang yang ditahan berusia antara 16 dan 22 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Menurut beliau, kesemua mereka ditahan kira-kira dua kilometer dari lokasi operasi.

Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan secara tidak sah atau menunggang secara berbahaya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *