SUKMA SELANGOR 2026:Bina Legasi, Lahir Generasi Juara

16 Ogos 2026

Kejayaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 tidak seharusnya diukur hanya melalui jumlah pingat
sebaliknya pada perkara yang kekal selepas pertandingan berakhir. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, impak positif kepada generasi muda, atlet para serta hubungan antara negeri menjadi cerminan kejayaan sebenar temasya itu.

“Legasi yang ingin kita bina bukan sekadar pada prasarana, pingat atau angka. Yang paling bermakna ialah lahirnya generasi yang lebih berani bermimpi, lebih cekal berusaha dan lebih yakin bahawa mereka juga mampu menjadi juara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan, yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin. Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Dalam pada itu, Datuk Seri Amirudin berkata Para SUKMA mempunyai kedudukan sama penting dalam Selangor 2026, dengan kecemerlangan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian di podium semata-mata. Menurut beliau, atlet para membuktikan bahawa ketekunan, keberanian dan kekuatan jiwa mampu membawa seseorang melangkaui batas yang pernah dianggap mustahil.

Kesemua atlet turut diingatkan supaya bertanding dengan keberanian dan kecekalan, menjunjung maruah pasukan serta negeri masing-masing, menghormati lawan dan memelihara semangat kesukanan. Beliau turut menyeru atlet supaya menang dengan rendah hati, menerima kekalahan dengan jiwa yang besar dan bangkit dengan semangat lebih kuat sekiranya tersungkur.

Penganjuran SUKMA kali ini turut membawa makna tersendiri apabila temasya itu kembali ke Selangor selepas 28 tahun. Kepulangan tersebut menurut beliau membawa tanggungjawab untuk menyediakan pentas terbaik kepada generasi muda mencabar kemampuan diri, mengasah bakat dan membina keyakinan untuk melangkah lebih jauh.

Beliau berharap Selangor 2026 akan dikenang bukan sahaja kerana kecemerlangan penganjurannya, tetapi juga kerana semangat yang disemarakkan, persahabatan yang diperkukuh dan generasi juara yang berjaya dilahirkan.

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan penyertaan lebih 5,000 atlet yang bakal beraksi dalam 469 acara melibatkan 37 jenis sukan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *