PM arah siasatan menyeluruh kemalangan lori JIM, tiga sekeluarga maut

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh susulan kemalangan melibatkan sebuah lori JIM di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi yang mengorbankan tiga sekeluarga.

Datuk Seri Anwar menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa kompromi sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian atau pelanggaran undang-undang.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran pusat beli-belah Maju Junction, lori JIM dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah dengan lampu suar serta siren diaktifkan.

Pada masa sama, sebuah kereta yang bergerak lurus ketika lampu hijau dipercayai tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

Perlanggaran menyebabkan lori terbabit hilang kawalan sebelum melanggar empat pejalan kaki daripada sebuah keluarga serta sebuah MPV.

Tiga mangsa, terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun, maut di lokasi kejadian.

Isteri mangsa, 55, pula cedera di kepala, tangan dan kedua-dua kaki serta menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.

Pemandu lori JIM dan pemandu kereta ditahan bagi membantu siasatan. Ujian pernafasan serta saringan awal air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif alkohol dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *