ZIARAH ULAMA AL-AZHAR, PMX TEKANKAN KEPENTINGAN MEMELIHARA TRADISI ILMU DAN TURATH

4 September 2026

Putrajaya — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarahi Al-‘Allāmah Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Ahmad al-Shihawi al-Husaini al-Asy‘ari al-Syafi‘i di Nasyrul Quran, Putrajaya.

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz merupakan alim kelahiran al-Mahallah al-Kubra, al-Gharbiyyah, Mesir dan antara ulama besar Syafi‘iyyah di al-Azhar. Beliau juga merupakan Syeikh bagi Mashaikh Mazhab Imam al-Syafie serta Syeikh bagi Tariqah Shahawiyyah Burhamiyyah.

Beliau dikenali sebagai ahli fiqh dan pengajar ilmu qiraat di al-Jāmi‘ al-Azhar yang tekun meneruskan tradisi talaqqi kitab turath. Kekuatan hafazan beliau turut merangkumi pelbagai cabang ilmu agama, hadith dan qiraat al-Quran.

Dalam pertemuan tersebut, Syeikh mengingatkan mengenai tanggungjawab memelihara turath sebagai khazanah ilmu yang menghubungkan generasi masa kini dengan tradisi keilmuan yang panjang.

Keistimewaan al-Azhar, menurut beliau, antara lain terletak pada kekuatan isnad serta kesinambungan tradisi ilmu yang dipelihara secara turun-temurun.

Dalam masa sama, teknologi baharu tidak seharusnya ditolak, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi tujuan mendokumentasi, memelihara dan melestarikan khazanah ilmu untuk generasi akan datang.

Turut dikongsikan pesanan Imam al-Syafie Rahimahullah:

“Barang siapa tidak merasakan kepayahan belajar walau sesaat, akan meneguk pahitnya kejahilan sepanjang hayat.”

Pertemuan itu turut menjadi ruang menyemarakkan penghargaan terhadap tradisi keilmuan Islam serta kepentingan memastikan khazanah ilmu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Semoga Allah SWT memelihara Syeikh, mengurniakan kesihatan dan afiat, memanjangkan usia beliau dalam keberkatan serta menjadikan ilmu yang dicurahkan sebagai amal jariah yang terus mengalir.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *