
NEW DELHI, 13 September – Malaysia terus memperluas peluang pelaburan dan kerjasama industri strategik dengan India melalui pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemain industri utama.
Antara tumpuan ialah kerjasama automotif bersama DRB-HICOM, manakala SEGULA Technologies India menyatakan hasrat menubuhkan Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang akhir 2026, sekali gus membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh kepakaran AI dalam sektor automotif, aeroangkasa, tenaga serta pembuatan termaju.
Malaysia turut meneroka peningkatan pembelian produk tempatan oleh AWL Agri Business Limited, yang kini mengimport produk minyak sawit Malaysia bernilai kira-kira RM1.5 bilion, selain memperluas kerjasama dalam oleokimia dan produk hiliran.
Sementara itu, Motherson Group berhasrat mengembangkan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital di Malaysia.
Perdana Menteri berkata perkembangan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia, selaras dengan usaha Kerajaan MADANI menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh industri tempatan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
