Projek Kampung Angkat MADANI Tingkat Kemudahan Komuniti Kampung Tebat Kering dan Kampung Bukit Temensu

KUALA PILAH, 20 September 2026 – Projek Membina Semula Surau Kampung Tebat Kering dan Projek Menaik Taraf Balai Raya Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering memberi manfaat kepada hampir 1,000 penduduk setempat menerusi peningkatan kemudahan komuniti di kawasan berkenaan.

Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil hari ini merasmikan kedua-dua projek yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi bagi tahun 2025.

Kedua-dua projek berkenaan membolehkan penduduk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan, keagamaan serta aktiviti lain dalam keadaan yang lebih baik, selesa dan selamat.

Selain meningkatkan kemudahan komuniti, pelaksanaan projek itu turut membantu mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.

Projek Membina Semula Surau Kampung Tebat Kering bermula dengan tarikh milik tapak pada 27 November 2025 dan siap sepenuhnya pada 14 September 2026.

Sementara itu, Projek Menaik Taraf Balai Raya bermula pada 17 Oktober 2025 dan siap sepenuhnya pada 26 Disember 2025.

Kementerian Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Kuala Pilah, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan serta pihak kontraktor atas kerjasama erat sepanjang pelaksanaan projek.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah; Pegawai Daerah Kuala Pilah merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Puan Hajah Nawal Mohamed Amin serta pengurusan tertinggi kementerian dan daerah.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *