
KULAI, 25 September – Kerajaan Negeri Johor akan merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi menangani masalah banjir kilat berulang di Kampung Pertanian, demi keselamatan dan kebajikan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan segera akan melibatkan penyelarasan pelbagai agensi, kerja pembersihan, penyaluran bantuan asas JKM serta langkah fizikal mitigasi banjir di kawasan berisiko.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu sekadar menyediakan bantuan kecemasan, sebaliknya komited mencari penyelesaian menyeluruh bagi menoktahkan masalah banjir di kawasan berkenaan.
Beliau turut menghargai tindakan pantas pasukan penyelamat, kepimpinan kampung dan sukarelawan dalam membantu penduduk yang terjejas.
