
KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER 2026 – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keselamatan jalan raya, kejuruteraan pengangkutan serta bidang berkaitan.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zharah binti Ishak dan Presiden IEM, Ir. Yau Chau Fong, bersempena dengan ENGINEER & MARVEX 2026 Exhibition and Convention yang berlangsung dari 22 hingga 25 September 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran MIROS dalam penyelidikan keselamatan jalan raya dan pembangunan dasar dengan rangkaian profesional serta kepakaran kejuruteraan IEM, sekali gus memperkukuh hubungan antara penyelidikan, amalan profesional dan pelaksanaan penyelesaian keselamatan jalan raya.
Melalui MoU ini, MIROS dan IEM akan meneroka kerjasama dalam penyelidikan, khidmat perundingan dan inovasi, perkongsian pengetahuan dan kepakaran, pembangunan serta pengujian teknologi, penganjuran seminar, persidangan, bengkel dan latihan, serta pembangunan kapasiti dan kesedaran keselamatan jalan raya.
Bidang kerjasama merangkumi kejuruteraan keselamatan jalan raya, sistem pengangkutan, keselamatan kenderaan, reka bentuk infrastruktur, analitik data dan faktor manusia.
Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zharah binti Ishak berkata, kerjasama ini membuka ruang untuk kepakaran MIROS dan IEM dikembangkan dengan lebih meluas melalui jaringan profesional dan kepakaran kejuruteraan kedua-dua pihak.
“MIROS mempunyai asas penyelidikan dan kepakaran teknikal yang kukuh dalam pelbagai aspek keselamatan jalan raya. Melalui kerjasama dengan IEM, kepakaran ini berpotensi diperkembangkan melalui penglibatan komuniti kejuruteraan yang lebih luas, perkongsian kepakaran merentas disiplin serta penerapan hasil penyelidikan kepada amalan profesional, pembangunan kompetensi dan penyelesaian sebenar di lapangan.”
Kerjasama ini juga menyediakan platform kepada kedua-dua pihak untuk menyumbang pandangan dan input teknikal berasaskan bukti bagi menyokong pembangunan dasar, standard serta inisiatif strategik keselamatan jalan raya.
