
KUALA LUMPUR, 30 September – Bank Rakyat memperluas inisiatif BizMatch ke Arab Saudi, Jepun dan China tahun ini bagi membantu usahawan tempatan meneroka peluang perniagaan serta menembusi pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, inisiatif itu menghubungkan pelanggan bank dengan rangkaian rakan niaga antarabangsa, sekali gus membuka akses kepada pasaran baharu.
Menurutnya, peluasan BizMatch merupakan sebahagian usaha Bank Rakyat memperkukuh rangkaian perniagaan selaras aspirasi #UntukSemua, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi masyarakat.
Bersempena ulang tahun ke-72, Bank Rakyat turut menegaskan komitmen untuk terus berkembang sebagai institusi kewangan Islam yang inklusif dan progresif.
Sejak penubuhan, Bank Rakyat telah menyediakan perkhidmatan kepada lebih sembilan juta pelanggan, dengan jumlah aset mencecah RM131 bilion.
