
SEPANG, 30 Sept – Penyambungan semula penerbangan Gulf Air antara Bahrain dan Kuala Lumpur dijangka meningkatkan kapasiti penerbangan antarabangsa Malaysia bagi memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibullah, berkata perkhidmatan itu turut mengukuhkan KLIA sebagai hab penerbangan serantau, dengan trafik penumpang Malaysia dijangka mencecah 109.7 juta tahun ini.
Gulf Air akan mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu sepanjang tahun menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner, selain menyediakan sambungan ke destinasi seperti Langkawi, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Perkhidmatan itu turut menyokong Visit Malaysia 2026 serta persediaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 2027.
MAHB pula menjangkakan tiga hingga empat syarikat penerbangan baharu akan memulakan operasi ke Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini.
