
SINDIKET CALLING CENTRE TUMPAS, 74 WARGA ASING DIBERKAS
KUALA LUMPUR, 29 September 2026 — Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah melancarkan Op Dadu Khas dengan menyerbu secara serentak lapan premis kediaman yang dipercayai dijadikan pusat calling centre oleh sindiket jenayah dalam talian di sekitar Kuala Lumpur.
Operasi yang dijalankan pada 28 September 2026 itu berjaya menahan 74 warga asing, terdiri daripada 67 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.
Daripada jumlah tersebut, 61 orang merupakan warga China, 12 warga Vietnam dan seorang warga Taiwan.
Hasil pemeriksaan mendapati premis-premis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah dalam talian, antaranya:
- mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian;
- menjalankan aktiviti love scam;
- menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian; dan
- menjadi hostel atau tempat penginapan operator calling centre.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan, termasuk set komputer, komputer riba, modem dan telefon bimbit pelbagai jenama.
Turut dirampas ialah lima biji pil berwarna kemerahan disyaki dadah jenis Yaba seberat anggaran 0.8 gram serta satu paket plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat anggaran 5.72 gram.
Sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut beberapa peruntukan undang-undang, antaranya:
- Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 – berkaitan aktiviti perjudian;
- Seksyen 420 Kanun Keseksaan – berkaitan penipuan;
- Seksyen 120B Kanun Keseksaan – berkaitan pakatan jenayah;
- Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 – berkaitan pemilikan dadah dalam kuantiti tertentu;
- Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 – berkaitan kemasukan dan keberadaan warga asing tanpa pas atau permit yang sah; dan
- Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 – berkaitan warga asing yang tinggal di Malaysia selepas pas atau permit tamat tempoh atau dibatalkan.
PDRM menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen serta jenayah komersial dan penipuan dalam talian yang boleh menjejaskan masyarakat.
Tindakan penguatkuasaan secara total enforcement akan terus dipergiatkan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan.
Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan perjudian dan penipuan dalam talian daripada terus berleluasa.
