
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka ditingkatkan dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam susulan peningkatan inflasi kesihatan negara kepada 3.0 peratus pada 2025 berbanding 1.4 peratus pada 2024.
Phillip Capital Research berkata peningkatan kos rawatan, insurans dan penyakit tidak berjangkit memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara.
Sebahagian besar peruntukan dijangka disalurkan kepada hospital dan kemudahan awam bagi meningkatkan akses rawatan, mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kapasiti dan tenaga kerja kesihatan.
Firma itu turut menjangkakan Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada pencegahan penyakit serta penyelenggaraan dan naik taraf klinik dan hospital kerajaan, termasuk penggunaan teknologi perubatan yang lebih canggih.
