MCMC, KERAJAAN SARAWAK PERKUKUH EKOSISTEM BANDAR PINTAR BERSEPADU DI GREATER KUCHING

KUCHING, 15 Oktober 2026 – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bersama-sama Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan projek Kuching Smart City and Digital Connectivity. Projek ini bertujuan memperluas kesalinghubungan digital dan menyokong transformasi perkhidmatan bandar di kawasan Greater Kuching.

Majlis pertukaran dokumen MoU tersebut disempurnakan oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh, yang disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, serta Menteri Komunikasi, Datok Seri Fahmi Fadzil, di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk memanfaatkan teknologi digital, data dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, memperkukuh keselamatan awam, memperluas akses digital serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat dan sektor perniagaan, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030).

Pelaksanaan projek ini akan memberikan tumpuan awal kepada kawasan Greater Kuching, yang merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), selaras dengan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030. Inisiatif ini dijangka menyokong penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Antara skop kerjasama yang dikenal pasti meliputi pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan AI dan data, platform bandar bersepadu serta pengukuhan infrastruktur rangkaian teras (connectivity backbone) bagi menyokong penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap, selamat dan responsif.

Skop ini turut merangkumi pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penyediaan Wi-Fi awam, penggunaan teknologi kembar digital (digital twin) dan pembangunan Pusat Operasi Rangkaian (Network Operations Centre, NOC). Pelaksanaan projek ini juga akan mengambil kira aspek keterangkuman, keselamatan siber, perlindungan data dan tadbir urus yang bertanggungjawab.

Secara keseluruhannya, projek ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Greater Kuching melalui penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif. Inisiatif ini dijangka membantu meningkatkan kecekapan pengurusan trafik dan kemudahan awam, mempercepat tindak balas terhadap insiden dan kecemasan serta menyediakan pengalaman digital yang lebih baik kepada masyarakat.

MCMC komited untuk terus memainkan peranan sebagai penggerak ekosistem komunikasi dan digital negara melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif digital yang menyokong pembangunan bandar yang lebih pintar, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat.

Dikeluarkan oleh:

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *