
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Pendigitalan mampu meningkatkan kecekapan sektor pembinaan menerusi proses perolehan yang lebih pantas, akses maklumat yang mudah serta pengurangan kos operasi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan teknologi digital membolehkan proses yang sebelum ini mengambil masa enam bulan dipendekkan kepada dua hingga tiga bulan, dengan potensi penambahbaikan pada masa hadapan.
Menurut beliau, pendigitalan turut memudahkan pemain industri mendapatkan maklumat berkaitan produk, pensijilan, pengeluaran, penyimpanan dan pembekal, selain membuka peluang pemasaran ke peringkat global.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian MENARABENA di Kuala Lumpur pada Khamis.
MENARABENA, inisiatif Menara Asia Sdn Bhd dengan kerjasama CIDB Holdings Sdn Bhd, bertujuan membantu pemain industri membuat keputusan perolehan lebih tepat berdasarkan harga, kualiti produk, keperluan teknikal dan maklumat pembekal.
