
MELAKA, 16 Oktober – Seramai lebih 10,300 pelajar dan guru daripada 42 sekolah agama serta Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima manfaat Program Sekolah Angkat MADANI 2026 dengan peruntukan keseluruhan RM1.05 juta.
Inisiatif anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat kumpulannya itu bertujuan meningkatkan kemudahan pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan warga ATM, khususnya bagi menjamin mutu pendidikan dan masa depan anak-anak mereka.
Beliau berkata demikian ketika melawat SRA JAIM Kem Terendak bagi meninjau keperluan prasarana pendidikan di sekolah berkenaan.
Sebanyak RM35,000 diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan surau di sekolah itu.
