ADAB ASAS PERPADUAN, MEDIA SOSIAL BUKAN PLATFORM MENGHINA DAN MENGHASUT – YANG DI-PERTUAN AGONG

18 Oktober 2026

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah rasa cinta kepada negara dibina menerusi semangat perpaduan dan hidup bersama dalam sebuah negara dengan penuh harmoni.

Seri Paduka Baginda, bertitah semua itu dapat dicapai apabila adab dijadikan sebagai amalan harian.

“Dari kecil kita diajar tentang adab untuk menghormati orang tua, tertib dalam berbicara dan tidak memandang rendah antara agama dan bangsa.

“Sesungguhnya adab bukan sekadar bersopan santun tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja Sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105, hari ini (17 Oktober) di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam.

Seri Paduka Baginda, bertitah namun dalam kemajuan dunia digital dan media sosial pada hari ini ada yang telah lupa adab dan bebas untuk menghina, mencaci, memaki hamun dan menjatuhkan maruah orang lain.

“Ada pula yang menyalahguna teknologi kecerdasan buatan untuk menghasilkan gambar dan video palsu dengan niat untuk menghina dan memalukan seseorang.

“Ingatlah bahawa di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan.

“Terdapat juga sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut menimbulkan kebencian dan memecah belahkan masyarakat,” titah Seri Paduka.

Justeru, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab, dan gunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.

“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang.

“Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.

“Jika hendak mengkritik sampaikan secara membina. Jika hendak menegur maka tegur lah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah, menyeru semua rakyat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebar sesuatu berita sebelum memastikan kesahihannya.

“Jangan kerana mahu menjadi orang pertama yang berkongsi sesuatu yang belum pasti, akhirnya kita menjadi orang yang menyebarkan fitnah dan kebencian.

“Saya mahu melihat kita menjadi sebuah masyarakat yang matang dalam berkomunikasi, bebas bersuara dengan penuh adab, berani memberi pandangan tetapi tidak menghina dan tegas mempertahan pendirian tanpa menanam kebencian,” titah Sultan Ibrahim.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *