
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Enam wanita menerima pengiktirafan menerusi Women in Technology Awards 2026 anjuran Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) atas sumbangan cemerlang dalam bidang teknologi, penyelidikan, inovasi dan kepimpinan.
Ahli akademik emeritus, Profesor Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris, meraih hadiah utama kategori Senior Women in Technology dengan wang tunai RM30,000, manakala Profesor Madya Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Dr Serene Lock Sow Mun, memenangi kategori Junior Women in Technology dengan RM15,000.
Bagi kategori pengiktirafan khas, Profesor Dr Suraya Abdul Rashid menerima anugerah Special Award-Rising Star, manakala pengasas Global Psytech, Dr Haniza Yon, meraih Special Award-Industry Changemaker. Kedua-duanya menerima RM10,000 setiap seorang.
Dalam kategori junior, pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), Dr Marlinda Ab Rahman, menerima anugerah Special Award-Rising Star, manakala Profesor Madya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Afzan Ahmad Zaini, menerima Special Award-Industry Changemaker. Kedua-duanya membawa pulang RM5,000 setiap seorang.
Majlis penyampaian anugerah dan jamuan makan malam gala itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, sempena sambutan ulang tahun ke-80 keputeraan Raja Perempuan Perlis.
Anugerah berkenaan bertujuan mengiktiraf sumbangan wanita serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. – BERNAMA
