
MADRID, 19 Oktober – Penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di Madrid, Sepanyol, bagi mendesak keganasan di Gaza dihentikan serta menuntut hak rakyat Palestin terus diperjuangkan masyarakat antarabangsa.
Perhimpunan anjuran Parar la Guerra di Plaza de Juan Goytisolo itu menyaksikan peserta membawa sepanduk dan plakad yang menggesa konflik ditamatkan serta pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Peserta turut membangkitkan kebimbangan mengenai nasib ribuan rakyat Palestin yang dilaporkan hilang, termasuk dakwaan bahawa Israel menyimpan jasad kira-kira 1,700 rakyat Palestin untuk dijadikan bahan tawar-menawar dalam rundingan pembebasan tebusan.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) sebelum ini memberi amaran bahawa ribuan keluarga di Gaza masih menunggu berita mengenai ahli keluarga mereka yang hilang, tanpa kepastian sama ada mereka ditahan atau terkorban.
Walaupun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, serangan udara dan tembakan Israel dilaporkan masih berterusan di wilayah itu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 1,400 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata berkenaan bermula, manakala ribuan jasad masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan. – VIORY
