PREMIER SARAWAK BAKAL LUNCUR GARIS PANDUAN BAHARU, PERKUKUH KELANGSUNGAN EKOSISTEM SUNGAI NEGARA

SIBU, 22 Oktober 2026 – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tampil menganjurkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 pada 24 Oktober 2026.

Acara perasmian oleh Premier Sarawak, Datok Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari bersama Timbalan Perdana Menteri, Datok Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof ini bertujuan memperkukuh pengurusan mampan sumber air. Misi ini direalisasikan menerusi pengenalan garis panduan koridor sungai, penyerahan projek perlindungan hakisan, dan pengiktirafan tokoh kelestarian air.

Acara kemuncak pada sambutan peringkat kebangsaan ini bakal memfokuskan kepada peluncuran Garis Panduan Pembangunan Dalam Koridor Sungai.

Inisiatif kritikal ini akan menjadi rujukan utama kerajaan dalam memastikan setiap pembangunan tidak menjejaskan ekosistem semula jadi sungai di seluruh negara.

Sebagai langkah proaktif melindungi kawasan berisiko, sesi penyerahan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Semarang, Pusa turut dilaksanakan.

Selain itu, kerajaan akan menyerahkan kelolaan Denai Sungai Kebangsaan Sg. Pesang dan Sg. Serin bagi merancakkan lagi usaha pemuliharaan alam sekitar di peringkat komuniti.

Bagi merangka strategi pengurusan jangka panjang, dokumen Kajian Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) untuk Sg. Samarahan, Sg. Sibuti, dan Sg. Saribas akan diserahkan secara rasmi.

Bagi menghargai sumbangan pihak berkaitan, Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026 dan penghargaan Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) akan disampaikan kepada peserta serta rakan strategik yang cemerlang.

Semua pengamal media dan masyarakat tempatan dijemput memeriahkan dan membuat liputan meluas bagi majlis yang penuh bermakna ini.

Kesedaran awam yang tinggi amat dituntut bagi memastikan kelangsungan serta kelestarian sungai kita terus terpelihara demi generasi akan datang.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *