Program Anak Kita: 2313 calon SPM di Selangor terima peranti dari UPSI

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan UPSI
15 FEB. 2025

Majlis Penyerahan Peranti dan Sijil Kolaboratif Program Anak Kita: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 peringkat Negeri Selangor telah diadakan di Dewan Seri Melawati, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melati.

Program ini melibatkan 2313 calon SPM 2025 di 134 sekolah di Selangor.

Kenyataan media Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memaklumkan bahawa Program Anak Kita merupakan sebahagian daripada Program Sokongan Pemulihan Pembelajaran – Semarak Potensi Malaysia.

Ia hasil kolaborasi antara Kementerian Kewangan (Unit Pantau Madani), Kementerian Pendidikan (KPM), dan Yayasan Hasanah.

TELAH DIBERI KEPERCAYAAN

UPSI telah diberi kepercayaan untuk mengurus program tersebut di enam negeri termasuk Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Sabah.

Program ini bertujuan menangani isu keciciran, memperkukuhkan literasi dan numerasi pelajar sekolah rendah, serta meningkatkan kadar kelulusan SPM.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Ahmad Rahim Kasdi semasa merasmikan Majlis Peyerahan Peranti dan Sijil Kolaboratif Program Anak Kita: SPM 2025 di peringkat Negeri Selangor berkata, Program Anak Kita adalah langkah yang penting untuk memastikan tiada murid yang tercicir daripada arus pendidikan, terutamanya dalam era teknologi yang semakin berkembang pesat.

UNTUK PEMULIHAN PEMBELAJARAN

“Melalui Program Anak Kita, dapat mengukuhkan usaha untuk pemulihan pembelajaran dengan menyediakan intervensi khusus seperti penyediaan peranti untuk pembelajaran digital,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan prinsip Malaysia MADANI yang memfokuskan kelestarian, kesejahteraan dan kreativiti.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja mencerminkan komitmen UPSI terhadap pembangunan pendidikan, tetapi juga memperkukuhkan matlamat rakan strategik yang berperanan sebagai peneraju dalam menghasilkan impak sosial yang berkekalan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum Dr. Rusmimi Ku Ahmad; Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Jafri Abu; Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI merangkap Projek Koordinator Program Anak Kita: SPM 2025 Profesor Dr. Norkhalid Salimin dan Pegawai Program Khas, Unit Pantau MADANI, Fuad Ridhuan Chew. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *