







Petikan FB Fadhlina Sidek
11 MAC 2025
Jika ke Kedah, kenangan Pekan Rabu kekal utuh mengenang ayahanda saya yang tidak pernah lupa membawa pulang pelbagai makanan lazat dari sana. Maka di Kelantan, Pasar Siti Khadijah adalah memori kekal terpasak bersama ibu saya.
Setiap kali ke Kelantan, inilah destinasi kami dua beranak. Bahagian ulam-ulaman adalah tumpuan kami.
Alhamdulillah hari ini sempat saya menyambar daun kegemaran saya iaitu daun kemangi, pucuk ketereh, daun salam, bunga kunyit dan temu untuk dibawa pulang.
Rindu kepada arwah ibu bukan kepalang mengingatkan tapai pulut yang biasanya kami borong untuk makan hari ini esok dan tulat ( peniaga di sini sudah biasa dengan rutin ini. Kita hanya perlu sebut mahu makan tapai ini bila waktunya sahaja).
KEENAKAN KUIH TRADISI
Kuih muih lazat seperti akok dan puding raja sentiasa dalam senarai saya kerana keenakan kuih tradisi ini tiada tolok bandingnya termasuk pulut srikaya dan pulut manis.
Saya juga ditemani oleh rakan-rakan Wanita KEADILAN yang manis! Pokoknya orang Kelantan memang manis-manis belaka bukan sahaja makanan dan budi bahasanya!
Begitulah meriahnya Pasar Siti Khadijah, penggerak ekonomi wanita Kelantan! – JM
