




Oleh: Sholina Osman
18 MAC 2025
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan supaya jangan jadikan proses pemilihan parti KEADILAN yang dijadualkan pada Mei ini sebagai medan perpecahan.
“Kita raikan demokrasi dalam parti dengan semangat yang matang—siapa yang ingin bertanding, silakan,” katanya pada hantaran di FB.
Namun kata Saifuddin jagalah adab, berkempen secara bersih, dan hormati sesama anggota parti.
KINI MENERAJUI KERAJAAN
“Kita bukan lagi parti pembangkang; kita kini menerajui kerajaan, dan presidennya adalah Perdana Menteri Malaysia,” katanya.
Terdahulu beliau hadir Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Kedah & Perlis di Sungai Petani.
Saifuddin berkata, segala tindakan dan tutur kata kesannya bukan hanya kepada parti, tetapi tempiasnya juga akan sampai kepada presiden parti.
BERTANDINGLAH SECARA SIHAT
Justeru itu Saifuddin sekali lagi memberi peringatan supaya bertandinglah secara sihat.
“Saya doakan agar segala urusan dipermudahkan, dan semoga mereka yang terpilih nanti adalah pemimpin yang benar-benar layak serta mampu memperkukuh parti demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Beliau sentiasa percaya bahawa pertemuan-pertemuan dalam majlis seumpama ini amat penting dalam mengeratkan silaturahim sesama anggota parti.
“InsyaAllah kita terus melangkah ke hadapan dengan penuh tekad dan kesatuan,” tambahnya. – JM
