




18 MAC 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan pihak pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membentangkan cadangan penambahbaikan selepas Aidilfitri ini.
Beliau berkata, ia bagi mempertingkat kadar pembayaran balik tanpa membebankan peminjam.
“Saya telah meneliti isu kadar pembayaran balik PTPTN yang masih rendah dan menyedari kepentingan memastikan kelestarian dana ini agar generasi akan datang terus mendapat manfaat,” katanya menerusi catatan di FB.
Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meneliti perkembangan sektor pendidikan tinggi negara.
GENERASI MASA DEPAN
“Antara isu utama yang dibincangkan adalah persiapan generasi masa depan dalam menerokai bidang Science, Technology, Engineering, and Mathematics (STEM), dengan tumpuan kepada industri semikonduktor yang kian berkembang pesat,” katanya.
Perdana Menteri juga sempat menghadiri program Ihya Ramadan anjuran KPT.
Tazkirah telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti, Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, bertajuk “Maqasid Al-Quran dan Masyarakat MADANI” diikuti solat fardu Zuhur berjemaah. – JM
