






17 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan menyampaikan ucapan di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia–Islamic World” di Kazan pada hari terakhir dalam rangka lawatan rasmi ke Rusia.
Beliau berkata, ia merupakan satu inisiatif penting yang dipelopori oleh
Rais atau Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov dengan dukungan penuh Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Saya menghargai komitmen Presiden Putin yang mendorong Malaysia dan negara-negara Islam untuk terus menyokong KazanForum sebagai wadah kerjasama demi pembangunan, keamanan dan kemakmuran yang lebih inklusif,” katanya dalam hantaran di FB.
PEMIMPIN DAN CENDIAKAWAN
Beliau juga menegaskan bahawa dunia Islam, khususnya para pemimpin dan cendekiawan harus bersikap lebih proaktif.
“Kita tidak boleh terus menanggapi krisis seperti di Gaza dengan rasa putus asa, sebaliknya bangkit memberi harapan dan menempa hala tuju kepada generasi muda agar mereka tidak terus terperangkap dalam naratif perpecahan dan kekecewaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya semua pihak mesti berhenti berbalah tentang perbezaan, dan mula membina masa depan bersama yang berteraskan nilai, akhlak dan integriti.
VISI INI DIMANIFESTASIKAN
Di Malaysia, katanya visi ini dimanifestasikan menerusi gagasan MADANI yang menganjurkan usaha menggapai kemajuan teknologi dan ekonomi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan dan peralihan tenaga, namun berakar pada nilai ihsan, kemanusiaan dan keadilan sosial.
Perdana Menteri jiga menyambut baik usaha Rais Rustam untuk melibatkan suara belia dalam perbincangan ini.
Beliau berkata, pandangan dan saranan mereka wajar diberi ruang dalam sesi akan datang untuk bersama membina masa depan yang lebih adil, mampan dan bermaruah untuk umat sejagat.
Selesai majlis, beliau dirai dengan jamuan makan tengah hari dan dihidangkan dengan juadah masyarakat Tatarstan. – JM
