




22 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuba dan memandu uji kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran Proton e.MAS 7 di sekitar kawasan pejabatnya hari ini (21 Mei 2025).
Beliau berkata, Proton e.MAS 7 merupakan satu lagi pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara, dan telah dipilih sebagai kenderaan rasmi Malaysia sempena jawatan Pengerusi ASEAN 2025.
Katanya, pemilihan ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan.
PEMANGKIN KEPADA PROMOSI
“Saya percaya Proton e.MAS 7 ini akan menjadi pemangkin kepada promosi dan pembangunan industri kenderaan elektrik negara, khususnya ketika kita menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya pada hantaran di FB.
Beliau berkata, inisiatif ini juga seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang, selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara di bawah kerangka Malaysia MADANI.
“Marilah kita terus menyokong inovasi tempatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi,” katanya. – JM
