

Oleh: Sholina Osman
13 JUN 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus mengambil tindakan tegas termasuk langkah perundangan terhadap mana-mana penyedia media sosial yang engkar mematuhi peraturan.
Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan langkah ini adalah penting bagi memastikan ekosistem digital negara
kekal selamat, berintegriti dan mematuhi kerangka perundangan sedia ada.
MCMC kekal komited dalam usaha melindungi orang awam daripada ancaman kandungan berbahaya.
“Ini adalah untuk memastikan internet menjadi ruang yang selamat, beretika dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” kata kenyataan itu lagi.
SALURAN DALAM TALIAN
MCMC juga telah mengenal pasti beberapa saluran dalam talian yang dilapor menyebarkan maklumat palsu, kandungan jelik melampau, serta unsur berbaur ancaman.
“Kandungan-kandungan yang diterbitkan bukan sahaja mengelirukan orang awam, bahkan boleh melemahkan kepercayaan orang awam terhadap institusi awam sekali gus berpotensi menggugat ketenteraman awam,” kata kenyataan itu.
MCMC telah melaksanakan pelbagai pendekatan, termasuk sesi rundingan
dengan penyedia platform media sosial.
Namun, tahap pematuhan dalam
kalangan penyedia platform masih berada pada tahap yang tidak memuaskan, meskipun usaha berterusan telah dilakukan. – JM
