
Wartawan JM
24 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menghubungi Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan beliau dan Parti Demokratik dalam Pilihan Raya Presiden baru-baru ini.
Beliau zahirkan keyakinan terhadap kepimpinan beliau dalam mengemudi Korea pada fasa baharu ini.
“Kami senada mahu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Korea Selatan, yang telah ditingkatkan ke tahap perkongsian strategik sewaktu kunjungan saya ke Seoul pada November tahun lalu,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berharap kerjasama ini akan terus dipacu secara menyeluruh merangkumi empat bidang utama iaitu keamanan dan keselamatan, pertahanan, ekonomi, pendidikan dan pelancongan, serta kerjasama serantau dan global.
RAKAN DAGANG KELAPAN
Beliau berkata, Korea Selatan adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan melebihi AS$20 bilion selama tiga tahun berturut-turut.
“Saya nyatakan komitmen untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) tahun ini,” katanya.
Di akhir perbualan, beliau menjemput Presiden Lee menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak ASEAN-ROK di Kuala Lumpur.
“Insya-Allah, saya juga akan ke Gyeongju pada November ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak APEC, dan berharap dapat menyambut kunjungan beliau ke Malaysia sebelum itu,” kata Perdana Menteri. – JM
