







Wartawan JM
25 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, yakni satu pelan paling menyeluruh dalam sejarah perancangan bandar di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau berkata, ia tertangguh lama sebelumnya akibat serangan COVID, namun apabila Kerajaan MADANI mengambil alih, kita mula mengusulkan agar semakan dan rombakan besar-besaran agar pembangunan kota ini benar-benar berteraskan pembangunan yang manusiawi.
“Kita mahu pelan ini bersifat inklusif, mengambil kira ‘emerging ideas’ seperti digital dan AI, selain keperluan rakyat marhaen termasuk perumahan mampu milik dan ruang yang kondusif untuk peniaga-peniaga kecil,” katanya dalam hantaran di FB.
TIDAK MAHU PEMBANGUNAN
Beliau berkata, kita semua tidak mahu pembangunan hanya memihak atau memenuhi keperluan golongan yang telah selesa sahaja.
“Kita mahu “a development with soul, values and humanity”, iaitu pembangunan yang terangkum, yang juga memberi ruang kepada warga yang berpendapatan rendah dan menengah untuk hidup selesa dan bermaruah di kota yang kita kongsikan bersama ini,” ujarnya.
Beliau turut mengimbau masa lalu di mana pernah tinggal di Segambut Dalam dan masih segar di fikiran bagaimana pembangunan di kawasan itu berjalan tanpa perancangan asas yang baik—tiada taman, padang atau kemudahan yang cukup untuk rakyat.
TANPA MEMIKIRKAN KESELESAAN
“Saya bingung bagaimana kelulusan dijalankan sebegitu rupa tanpa memikirkan keselesaan dan keperluan asas penduduk. Itu maksud saya tatkala membicarakan tentang ‘governance’ atau tatakelola yang baik,” tambahnya.
Anwar menekankan juga bahawa kita tidak mengusulkan pembangunan kota yang baharu ‘from scratch’ seperti Putrajaya kerana kita masih terikat dengan struktur lama.
Bagaimanapun katanya, mesti bijak menyesuaikannya dengan keperluan masa kini, termasuk kemudahan asas, kawasan hijau dan kemudahan seperti padang dan taman-taman.
Beliau berkata, ia tidak soal estetika semata tetapi soal keadilan dan kesejahteraan semua.
MERUPAKAN LANGKAH PENTING
Pelan ini kata beliau tentunya tidak sempurna tetapi ia merupakan langkah penting ke arah pembangunan yang tidak mengabaikan golongan pekerja dan miskin kota.
Sehubungan itu katanya, jangan kita hanya fikir soal gedung-gedung gah dan raksasa sahaja tetapi akhirnya—seperti yang diungkapkan Mark Twain—‘culturally barren’, gersang seni, budaya, ruh dan nilai.
“Saya gesa semua pihak; elit, pemaju, warga dan pengusaha untuk bersama bina kota yang adil dan inklusif kerana Kuala Lumpur bukan milik mana-mana kelompok tetapi adalah rumah untuk semua,” kata beliau lagi. – JM
