PMX diberi penghormatan sampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne, Paris

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
5 JULAI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne, Paris sebuah institusi tersohor yang bukan sahaja membentuk tamadun Perancis tetapi turut menyumbang besar kepada perkembangan pemikiran dunia moden.

Dalam syarahan bertajuk “Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement” beliau menegaskan keperluan untuk merombak semula bentuk hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah agar lebih adil, setara dan saling menghormati.

Hubungan ini harus dibina atas dasar kesaksamaan dan kepercayaan bersama, bukan berlandaskan dominasi atau warisan penjajahan yang lama membelenggu hubungan antarabangsa.

“Saya turut mengangkat suara Asia Tenggara sebagai rantau yang dinamik, matang secara politik dan berkembang pesat secara ekonomi,” katanya dalam hantaran di FB.

MEMPERKUKUH KERJASAMA SERANTAU

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa berasaskan prinsip keamanan, kemakmuran bersama serta kedaulatan yang dihormati.

Dalam konteks global, beliau suarakan keprihatinan mendalam terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza yang menuntut tindakan segera dan tegas masyarakat antarabangsa.

“Keganasan yang berterusan dan pencabulan hak asasi manusia tidak boleh lagi ditanggapi dengan sikap berdiam diri. Keadilan tidak boleh bersifat terpilih. Nilai hak asasi dan maruah manusia harus dilindungi untuk semua, tanpa mengira bangsa, agama atau geografi,” katanya.

Perdana Menteri turut mengangkat isu Islamofobia yang semakin berleluasa di sesetengah tempat di Eropah. Fraternité, prinsip luhur dalam tamadun Perancis, tidak seharusnya berhenti di sempadan identiti.

SEBAGAI SOLIDARITI SEJAGAT

Jelas beliau, ia perlu diterjemah sebagai solidariti sejagat yang menjunjung maruah dan hak semua manusia.

“Dalam dunia yang semakin terpolarisasi, saya percaya dialog antara budaya, ketamadunan dan agama mesti terus diperkasa,” katanya.

Jelas Anwar, sejarah telah membuktikan bahawa peradaban Islam dan Barat pernah menjalin kerjasama yang membuahkan kemajuan bersama.

MEMBINA SEMULA JAMBATAN

“Maka, tugas kita kini ialah membina semula jambatan kepercayaan, menjadikan perdagangan, teknologi dan nilai kemanusiaan sebagai medium perpaduan, bukan perseteruan,” tambah beliau.

Beliau berkata, Eropah dan Asia adalah dua dunia yang berbeza, namun perbezaan bukan alasan untuk berpecah.

Sebaliknya katanya dengan tekad dan keberanian moral, kita mampu melangkaui batas lama dan bersama-sama membentuk masa depan yang lebih adil, inklusif dan bermaruah untuk generasi akan datang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *