MCMC siasat individu muat naik kandungan palsu terhadap Institusi Diraja

Oleh: Sholina Osman
19 JULAI 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap kandungan palsu menyentuh Institusi Diraja yang dimuat naik oleh seorang individu menerusi akaun Facebook
miliknya.

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan kandungan tersebut dipercayai mengandungi dakwaan palsu kononnya Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan awal berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.

Dakwaan tersebut telah mengelirukan orang ramai dan menjejaskan integriti
sistem perundangan negara, serta kewibawaan Institusi Diraja.

Bagi membantu siasatan, MCMC telah merakam keterangan individu terbabit pada 2.30 petang tadi, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

HUKUMAN DENDA MAKSIMUM

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang kandungan palsu yang menyentuh Agama, Kaum dan Institusi Diraja (3R).

MCMC kekal tegas dalam memastikan ruang siber tidak disalahgunakan untuk
menyebarkan naratif palsu atau mengganggu proses demokrasi dan tadbir urus negara, sejajar dengan usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang serta keharmonian masyarakat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *