






Oleh: Sholina Osman
2 OGOS 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang amat penting sebagai asas kukuh dalam mempersiapkan anak-anak untuk menghadapi alam persekolahan dengan lebih yakin dan berkesan.
Baginda bertitah, pendidikan ini turut berperanan dalam mencorakkan perkembangan si cilik, terutamanya dari segi kemahiran sosial.
Melaluinya, mereka berpeluang untuk belajar, berinteraksi serta membina hubungan positif bersama rakan sebaya dan guru-guru.
“Sebuah pusat pendidikan yang berkualiti pula menyediakan persekitaran yang selesa dan harmoni, sekaligus menyemai minat belajar dalam diri anak-anak.
YANG BERDAYA SAING
Keadaan ini bukan sahaja melahirkan individu yang berdaya saing, malah turut menyokong tumbesaran dan perkembangan intelektual mereka secara menyeluruh,” titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Biasiswa Seorang Anak Sebesar Harapan (One Child One Hope) 2025 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Taman Buah-Buahan Eksotik Negeri Perlis, Sungai Batu Pahat.
Turut berangkat mengiringi Baginda adalah Raja Puan Muda Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
DULI-DULI TUANKU
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Datuk Sri Dr. Richard Ong serta Pengarah Eksekutifnya Kevan Ong dan Keefe Ong serta Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Kumpulan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. dengan kerjasama YTSP Perlis serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Richard menyatakan bahawa penubuhan program biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” atau One Child One Hope (OCOH) merupakan satu inisiatif murni oleh pihak Smart Reader®️ Worldwide dalam usaha melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa.
Sejak dilancarkan, program biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” telah memberi manfaat kepada lebih 600 orang kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh Malaysia, dengan lebih RM2.5 juta diagihkan melalui pelbagai badan amal, termasuk Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
MASA AKAN DATANG
“Saya berharap agar usaha pemberian biasiswa ini dapat diteruskan pada masa akan datang, khususnya untuk membantu anak-anak di negeri Perlis yang memerlukan, agar mereka turut berpeluang menikmati akses kepada pendidikan berkualiti dan seterusnya menjadi kebanggaan negeri ini,” tambah beliau lagi.
Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis, simbolik persembahan tajaan replika cek biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” daripada Smart Reader Worldwide kepada YTSP Perlis berjumlah RM60,000, serta penyampaian peralatan persekolahan kepada sembilan orang pelajar terpilih bagi tahun ini.
Majlis turut mencatatkan detik bersejarah dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Smart Reader Worldwide dan Arau Child, yang disaksikan oleh Duli-Duli Tuanku berdua. – JM
