







Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
3 OGOS 2025
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kini memiliki lebih 90 peratus pegangan saham FGV Holdings Berhad, malah bermula 28 Ogos 2025, FGV secara rasmi dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sudah pasti ini bukan sekadar kejayaan korporat, tetapi satu kemenangan moral buat para peneroka.
“Saya titip pesanan bahawa rakyat akan mendapat pelbagai manfaat apabila sesebuah pengurusan seperti Felda dijaga dengan baik, termasuk meletakkan bayangan kemajuan mendatang dengan menggunakan teknologi terkini dalam segenap aspek tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya dalam hantaran di FB.
Terdahulu Perdana Menteri hadir menyempurnakan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) yang menerima sambutan luar biasa daripada warga FELDA, KKDW, KUSKOP dan seluruh lapisan masyarakat.
Dalam usaha memperkasakan rakyat luar bandar, beliau berkata FELDA terus melakar kejayaan membanggakan termasuk sebanyak 13 buah Pusat Hemodialisis FELDA sedang dibangunkan, dan 10 daripadanya telah siap, dengan kapasiti sehingga 36 pesakit setiap langkah besar dalam menjaga kebajikan warga peneroka.
TIGA ACARA BESAR
Mengenai Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025, beliau amat berbangga dengan penganjuran tiga acara besar secara serentak ini.
Beliau berkata ia bukan sahaja langkah bijak dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan, malah membuka ruang dan akses seluas-luasnya kepada para usahawan untuk mempromosikan produk mereka kepada khalayak yang lebih besar.
“Saya yakin, inisiatif berskala besar seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada padanan perniagaan dan strategi pemasaran bertaraf global,” katanya.
Usaha ini kata Perdana Menteri bukan sahaja meningkatkan daya saing, tetapi turut memperluaskan kebolehpasaran produk luar bandar secara menyeluruh selari dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab keusahawanan mampan. – JM
