



Oleh: Sholina Osman
9 OGOS 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKW) tidak pernah berdiam diri dalam kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Menterinya, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri berkata, sebaliknya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah agensi terawal tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga pelajar itu.
“Pihak JKM pergi berjumpa dengan ibu Zara dan menawarkan perkhidmatan yang kami ada termasuk khidmat kaunseling,” katanya sebagai mengulas kes Allahyarham Zara Qairina hari ini (9 Ogos).
Hajah Nancy menegaskan kementeriannya juga sentiasa komited memberi perlindungan kepada kanak-kanak.
Beliau menyeru orang ramai untuk menghubungi Talian Kasih 15999 bagi melaporkan sebarang kes buli yang tidak wajar dinormalisasikan.
MENYANTUNI MANGSA KEBAKARAN
Terdahulu beliau telah menyantuni mangsa kebakaran rumah setinggan Jalan Pantai Dalam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Rendah Agama Al Khawarismi, Jalan Pantai Permai 7, Lembah Pantai.
Hadir sama Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat dan Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
“KPWKM melalui JKM telah mengendalikan PPS bagi mangsa-mangsa kebakaran tersebut dan menyalurkan bantuan awal seperti pakaian, selimut, bantal, kit kebersihan diri dan kemudahan makanan empat kali sehari bagi menjaga kebajikan dan keselesaan mangsa,” kata beliau.
Beliau juga telah menyampaikan bantuan segera bencana JKM berbentuk wang tunai bernilai RM300.00 kepada mangsa yang terlibat.
“KPWKM akan terus meneliti bentuk bantuan lain yang boleh diberikan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka selepas ditimpa musibah,” katanya dalam hantaran di FB. – JM
