







Oleh: Sholina Osman
14 OGOS 2025
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis
mengambil inisiatif dalam menarik minat usahawan dan golongan belia untuk menceburi projek tanaman kopi melalui penganjuran Kursus Penanaman dan Pemasaran Kopi 2025 di bawah program Agropreneur Muda.
Kenyataan media Unit Korporat dan Advokasi FAMA Perlis memaklumkan
kursus berkenaan telah berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos 2025 di Keda Resort Bendang Man Sik, Kedah.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan kesesuaian tanah, teknik penanaman yang betul, rangkaian pasaran, kaedah pemasaran masa kini, pelan
perniagaan Kopie Satu secara perlesenan kepada peserta serta berkongsi maklumat berkaitan perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh jabatan/agensi.
Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Penanaman dan Pemasaran Kopi 2025.
LATIHAN DAN BIMBINGAN
Semasa berucap Anzara berkata selain program latihan dan bimbingan, pelbagai geran, bantuan dan
perkhidmatan ditawarkan oleh FAMA seperti Geran Agropreneur Muda bernilai RM30,000 dan bantuan pengaturan pasaran yang boleh dimanfaat oleh usahawan.
Dengan adanya bantuan, geran dan perkhidmatan sebegini, katanya diharapkan ianya dapat menarik lebih ramai usahawan dan golongan belia menceburi projek tanaman kopi dalam
menjadikan ianya salah satu sumber pendapatan untuk negeri Perlis.
Dalam pada itu, turut diadakan satu lawatan ke projek tanaman kopi, Kopi Sik bagi memberi peluang untuk peserta melihat sendiri proses dan kaedah yang diusahakan oleh
usahawan berkenaan. – JM
